Polis cari pemandu lori terlibat kes langgar lari di Puchong

Bernama
Oktober 24, 2020 21:44 MYT
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan bagi mengesan pemandu terlibat.
KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan pemandu lori disyaki terlibat dalam kes langgar lari yang menyebabkan kematian seorang pegawai bomba di Jalan Puchong-Dengkil, Puchong, Selangor, petang tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shari’at berkata mangsa Anuar Harun, 42, yang juga Penguasa Kanan Bomba, Ketua Zon Daerah Petaling maut di tempat kejadian selepas skuter ditunggangnya bergesel dengan lori terbabit.
“Mangsa maut akibat cedera parah di kepala dipercayai digilis oleh lori tersebut dalam kejadian yang berlaku di lokasi sebelum jejambat Batu 14 di jalan berkenaan ketika bergerak menghala ke Puchong.
"Motosikal (skuter) mangsa jenis Yamaha NVX rosak di bahagian hadapan sisi kanan manakala butiran lori yang melarikan diri ke arah Sunway masih belum diketahui dan masih dalam usaha pengesanan,” katanya menerusi kenyataan, pada Sabtu.
Azman berkata setakat ini, pemandu lori itu belum membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu polis bagi mengesan pemandu terlibat.
--BERNAMA
#maut #kemalangan #langgar lari #polis #Puchong #Trafik Selangor #Petaling #jejambat #skuter #motosikal #penunggang motosikal maut #pemandu lori #Azman Shari at #Anuar Harun #laporan polis #Jalan Puchong-Dengkil #pegawai bomba #penguasa kanan #digilis lori