Seorang anggota polis berpangkat konstabel hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Balik Pulau atas lima pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM 1,800 daripada seorang pendatang asing tanpa izin pada Oktober tahun lalu.

Muhammad Shaparin Sulaiman, 24, didakwa meminta dan menerima suapan tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas warga asing tersebut, lestari budiharto dari indonesia, kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Tertuduh didakwa melalukan kesalahan itu di Balai Polis Air Itam, Bukit Bendera dan Jalan Pokok Ceri antara 11 Oktober 2014 Dan 15 Oktober 2014.

Shaparin didakwa di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali dari nilai suapan atau RM 10,000 jika didapati bersalah.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Hakim Sitarun Nisa menetapkan jaminan RM 4,000 untuk kesemua pertuduhan dan menetapkan 23 Mac untuk tarikh sebutan kes.