SEREMBAN: Polis menggempur sebuah taman perumahan di Sikamat, di sini, yang didakwa menjadi penempatan warga asing dengan majoritinya terdiri daripada etnik Rohingya sejak hampir 20 tahun lepas, dalam satu operasi bersepadu malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abd Khalid Othman berkata, dalam operasi selama kira-kira empat jam dari 10 malam itu, sebanyak 340 individu diperiksa membabitkan 335 warga Myanmar, Indonesia (tiga) dan Bangladesh (dua).

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 29 individu berumur lingkungan 60 hingga empat tahun membabitkan 15 lelaki, enam wanita serta tiga kanak-kanak ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu Seksyen 6 (1) (c) kerana tiada dokumen, manakala Seksyen 15 (1) (c) akibat tinggal melebihi masa ditetapkan melibatkan tiga lelaki dan dua wanita.

"Tangkapan ini akan dibawa ke Pejabat Unit Tindakan Imigresen Senawang untuk pemeriksaan lanjut sebelum dihantar ke Depo Tahanan Imigresen Lenggeng. Operasi kali ini lebih kepada pemeriksaan dokumen dengan kerjasama Jabatan Imigresen (JIM) negeri dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

"Pemeriksaan ini juga berdasarkan aduan orang ramai selain bermatlamat meluaskan kawalan terhadap warga asing. JIM lakukan pemeriksaan dan maklumkan kepada kita untuk lakukan operasi besar-besaran," katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan, di sini, awal pagi tadi.

Beliau berkata, tiga kompaun turut dikeluarkan MBS atas kesalahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Kerajaan Tempatan iaitu menjalankan perniagaan di dalam rumah serta sitaan barangan di bawah Undang-Undang Kecil Tred dengan nilai kompaun berjumlah RM1,250.

Dalam pada itu, Abd Khalid berkata, taman perumahan berkenaan merupakan lokasi titik panas yang menjadi tumpuan warga asing terutama Rohingya di negeri ini dan pemantauan akan diteruskan untuk mengesan kemungkinan warga lain di lokasi berbeza.

"Kita tengok dalam tempoh dua ke tiga hari ini, kalau ke bandar Seremban dah tak seperti dulu yang penuh dengan warga asing, sekarang dah boleh rasa kehadiran ramai orang tempatan, jadi operasi seperti ini mungkin membantu menyelesaikan isu terbabit," katanya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa lambakan warga asing di lokasi berkenaan akan mengancam keselamatan warga tempatan yang tinggal di kawasan berdekatan.

"Kita bukan menuduh, tetapi kemungkinan itu ada memandangkan isu mencari nafkah ... orang ramai mungkin akan takut, sebab itu diharapkan kerjasama masyarakat untuk maklumkan kepada kita lokasi golongan itu tinggal," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, operasi berkenaan antara lain bertujuan mengesan sekiranya terdapat saki-baki tahanan yang melarikan diri dari Depoh Imigresen Sementara Bidor, Perak baru-baru ini, bagaimanapun pemeriksaan lanjut tidak menemukan mereka. - BERNAMA