MALAYSIA

Polis giat jejak suspek kes tembak di Simpang Pulai, mohon bantuan Interpol

Bernama 14/09/2025 | 14:51 MYT
Sehingga kini suspek utama belum ditahan, manakala beberapa individu lain yang dipercayai terlibat juga masih dikesan.
IPOH: Polis akan mendapatkan bantuan Interpol bagi mengesan suspek yang dipercayai menembak dan menikam seorang anggota polis di Simpang Pulai, di sini sebelum mayat seorang wanita ditemukan dalam kereta dipandunya pada 7 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata sehingga kini suspek utama belum ditahan, manakala beberapa individu lain yang dipercayai terlibat juga masih dikesan.

"Motif kejadian masih belum dapat dikenal pasti kerana suspek-suspek berkenaan belum ditangkap. Usaha kini dipergiat termasuk menggunakan saluran Wisma Putra dan Interpol," katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam kejadian 1.15 pagi itu, anggota polis berusia 26 tahun dari Balai Polis Simpang Pulai terkena tembakan di bahagian perut dan tikaman pisau semasa bergelut dengan suspek yang disyaki terlibat dalam kes bunuh di kebun kelapa sawit berhampiran sebuah kilang di Simpang Pulai.

Pemeriksaan lanjut terhadap kereta suspek menemukan mayat seorang wanita di bahagian tempat duduk belakang kenderaan terbabit.

Susulan itu, sebanyak sembilan individu termasuk seorang wanita direman seminggu bermula 8 Sept bagi membantu siasatan, namun dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

-- BERNAMA

#polis #siasatan suspek tembak polis #polis ditikam #simpanhg pulai #Interpol