Polis giatkan operasi pastikan tiada pergerakan tanpa keperluan

Hilmi Malik
Mac 21, 2020 16:00 MYT
ARJUNAIDI: Keluar dengan keluarga tak perlu ramai-ramai, cukup seorang sahaja yang wakil. - Astro AWANI/Hilmi Malik
Polis terus mempergiatkan operasi sekatan jalan dalam memastikan tiada sebarang pergerakan yang tidak perlu dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, usaha untuk menyedarkan masyarakat akan diteruskan tanpa henti.
"Kita nak pastikan tiada sebarang pergerakan yang tidak perlu dilakukan dalam kalangan orang awam terutamanya yang keluar bersantai.
"Kadang-kadang orang awam mereka ini beli barang yang tiada keperluan. Keluar (membeli barang) tak perlu ramai-ramai, cukup seorang sahaja yang wakil," katanya ketika operasi sekatan jalan di Petaling Jaya pada malam Sabtu.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan kepada orang ramai berhubung situasi terkini melibatkan kes kematian COVID-19 yang telah mencecah sebanyak lapan kes.
"Patutnya itu menjadi pengajaran kepada kita. Kita tak nak tengok perkara itu berlaku pada keluarga orang lain dan (tidak mahu) risiko untuk kita terdedah dengan virus itu ada apabila di luar," katanya lagi.
Menurut pihak polis hasil operasi sekatan yang telah berlangsung selama empat hari ini juga menyaksikan kadar pergerakan kenderaan berkurangan.
Bermula pagi Ahad, Perintah Kawalan Pergerakan akan turut dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang tempoh kawalan tersebut.
#arjunaidi mohamed #COVID-19 #koronavirus #PDRM #perintah kawalan pergerakan #polis #rakyat Malaysia