MALAYSIA
Polis hantar pegawai ke Thailand, siasat rakyat Malaysia bawa senjata api - KPN

Mohd Khalid berkata suspek lelaki itu ditahan bersama beberapa laras raifal serta peluru ketika sedang memandu kenderaan bernombor plat Malaysia di Songkhla. - Gambar fail/Bernama
HULU SELANGOR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pegawainya ke Thailand bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung kes seorang rakyat Malaysia yang ditahan bersama senjata raifal dan peluru di Sodao, Songkhla, Sabtu lepas.
Ringkasan AI
- PDRM akan menghantar pegawai ke Thailand untuk siasatan kes rakyat Malaysia ditahan bersama raifal dan peluru, dipercayai cuba menyeludup senjata ke Malaysia.
- Ketua Polis Negara turut memaklumkan kawalan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand masih terkawal, dan keselamatan pemimpin negara sedang diperkukuh susulan insiden cubaan serangan terhadap Sultan Perak.
- PDRM masih menunggu laporan rasmi bedah siasat kedua terhadap pelatih kadet Palapes, Syamsul Haris Shamsudin, dan menyeru agar diberi ruang untuk siasatan dijalankan dengan teliti.
"Siasatan sedang dijalankan termasuk dakwaan bahawa senjata terbabit dalam perjalanan untuk dibawa masuk ke Malaysia. Setakat ini hanya seorang ditahan, namun siasatan akan diperluas untuk mengenal pasti modus operandi dan organisasi di sebalik kegiatan ini," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Program Diploma Kepolisan (MQA) dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (JPK) PDRM di Maktab PDRM Kuala Kubu Bahru, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki rakyat Malaysia ditahan bersama raifal dan ratusan butir peluru disyaki membelinya di Thailand untuk diseludup masuk ke negara ini.
Mohd Khalid berkata kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand masih berada dalam keadaan baik dan terkawal setakat ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd Khalid berkata kawalan keselamatan bagi pemimpin negara termasuk Sultan dan Ketua Negeri sedang diperkukuh susulan insiden seorang wanita tempatan cuba menyerang Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di pentas utama sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, Sabtu lepas.
"Kita juga akan meningkatkan (penyertaan) kursus bodyguarding dan menyerapkan elemen-elemen Unit Tindakhas dan komando supaya dapat diperkemas tugasan semua pegawai yang bertugas dengan pihak istana dan kerajaan negeri," katanya.
Dalam pada itu, Khalid berkata PDRM masih belum menerima laporan rasmi bedah siasat kali kedua terhadap pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Syamsul Haris Shamsudin.
"Beri ruang kepada pihak polis menyiasat dengan baik dan sempurna, dan kita akan kemukakan apa juga hasil siasatan terbabit," katanya.
Proses bedah siasat kedua Syamsul Haris, 22, dijalankan pada Sabtu lepas sebelum dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu di Semenyih kira-kira 6.09 petang hari sama.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami