Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Polis jalankan siasatan dakwaan wanita Belgium terkena peluru sesat

Bernama 21/11/2025 | 13:20 MYT
Polis menjalankan siasatan kes itu di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 iaitu kesalahan menyebabkan kecederaan dengan senjata api tanpa alasan yang sah. - Foto hiasan/BERNAMA
GEORGE TOWN: Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian seorang wanita warga Belgium yang mendakwa mengalami kecederaan akibat terkena peluru sesat ketika berada di rumahnya di sebuah kondominium di Batu Ferringhi dekat sini pada Isnin lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata wanita berusia 67 tahun yang juga pemegang visa Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) itu mendakwa ketika berada dalam rumahnya, dia terdengar bunyi letupan sebelum mengalami kecederaan dalam kejadian pada 5.35 pagi.

"Mangsa yang tinggal bersama anaknya di rumah itu telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta dan ditahan di wad selama sehari sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 11.39 pagi semalam.

"Hasil siasatan di tempat kejadian oleh pasukan siasatan forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang telah menemui titisan darah dipercayai milik mangsa dalam sebuah bilik di kondominium itu," katanya dalam kenyataan hari ini, sambil menambah pihak polis tidak menemukan sebarang anak peluru atau kesan tembakan dalam rumah mangsa.

Azizee berkata menurut kenyataan doktor yang merawat mangsa mendapati wanita itu mengalami kecederaan luka melecet pada bahagian atas kening mata dan kecederaan itu dipercayai disebabkan oleh objek tumpul serta tiada sebarang luka tembakan dikesan pada mana-mana bahagian tubuh mangsa.

Beliau berkata hasil siasatan awal pihak polis juga mendapati terdapat beberapa aspek keterangan yang tidak konsisten diberikan oleh wanita itu dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

"Polis menjalankan siasatan kes itu di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 iaitu kesalahan menyebabkan kecederaan dengan senjata api tanpa alasan yang sah," katanya.

-- BERNAMA

#polis pulau pinang #siasatan #wanita Belgium #peluru sesat