PASIR GUDANG:Polis Johor belum menerima data termasuk senarai pesakit positif COVID-19 serta individu yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah bagi membolehkan pasukan itu membuat pemantauan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 (PKP 2.0).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya sehingga kini masih menunggu data berkenaan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

"Ketika PKP 1.0, kita dibekalkan data tersebut bagi membuat pemantauan di rumah (pesakit dan individu yang dikuarantin). Jadi pemantauan dapat dibuat dengan berkesan.

"Kita memahami kekangan yang dihadapi KKM. Namun penguatkuasaan perlu dilakukan bagi memastikan individu yang dikuarantin di rumah tidak ingkar dan kekal berada di dalam rumah.

"Yang dikuarantin di rumah, siapa yang pantau mereka? Kalau dulu sewaktu PKP 2.0 memang data ini disalurkan kepada polis, tapi PKP 2.0 ini kita masih lagi menunggu data daripada KKM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di asrama kilang di Pasir Gudang pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, pihaknya mempunyai pasukan pemantauan termasuk Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi tujuan berkenaan.

Malah katanya, polis bersedia memberi kerjasama kepada Jabatan Tenaga Kerja bagi pemantauan kilang dan industri yang menjadi penyumbang kepada peningkatan kes COVID-19 di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya juga menstruktur semula pasukan pemantauan dengan pertambahan kekuatan dan kini mempunyai 500 anggota bagi memastikan lebih banyak lokasi dapat dirangkumi.