JOHOR BAHRU: Polis menahan lapan lelaki dan membongkar satu sindiket penipuan 'Macau Scam' yang baru beroperasi seminggu, dalam tiga serbuan berasingan sekitar bandar raya dan Kulai pada 15 dan 19 Okt lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka yang berumur antara 21 dan 43 tahun itu, disyaki berperanan sebagai pelatih pekerja baharu, yang mengajar teknik penipuan dengan menyamar sebagai pegawai penguatkuasa.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai mempunyai jaringan antarabangsa, dan ia aktif dalam merekrut serta memberikan latihan, sebelum individu itu diberi peranan sebagai operator di pusat panggilan 'Macau Scam' di dalam dan luar negara termasuk di Kemboja, Dubai dan Emiriah Arab Bersatu.

"Selain sebagai pengajar, mereka juga dipercayai berperanan menjadi ejen, operator pusat panggilan, pengurus akaun dan penulis skrip yang berpusat di Johor Bahru dan Kuala Lumpur," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.

"Mereka diberi tawaran gaji RM3,000 sebulan dan komisen tiga peratus bagi setiap hasil penipuan yang berjaya dilakukan. Kita percaya sindiket ini baharu beroperasi dan yang mereka menjadi ahlinya tidak sempat menerima bayaran gaji seperti yang ditawarkan," tambahnya.

Ayob Khan berkata hasil siasatan mendapati pekerja baharu yang dilatih akan ditempatkan di beberapa buah unit banglo di bandar raya ini dan Kulai dalam tempoh sebulan, sehingga mereka mahir menyamar sebagai pegawai penguatkuasa.

Beliau berkata pihaknya sedang berusaha mengesan dua lelaki iaitu Su Hao Shou, 33, yang beralamat di Taman Stulang, di sini dan Mohamad Khairuddin Syah, 25, yang beralamat di Taman Damai Jaya, Skudai, dipercayai menjadi dalang kepada sindiket berkenaan.

Mengulas mengenai kes pemalsuan dokumen surat aku janji melibatkan nama Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Ayob Khan berkata polis sedang mengesan dua beranak iaitu M. Parameswaran, 64, dan P. Kuganathan, 34, yang beralamat di Taman Sibilin, Ipoh, Perak bagi membantu siasatan.

"Kita sudah mengambil keterangan daripada tiga individu, tetapi dua individu ini masih belum dapat dikesan, kedua-duanya mendakwa pernah berkhidmat di Istana Johor," katanya sambil menambah mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan kesemua lelaki yang dicari itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Pada 10 Okt lepas, Ayob Khan memaklumkan polis telah mengambil keterangan seorang wanita yang mengaku 'Datuk Seri' dan seorang peguam lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pemalsuan dokumen surat aku janji, bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing dengan menggunakan nama Tunku Ismail.

-- BERNAMA