Polis Johor, pasukan SEAL tumpas sindiket bitcoin haram babit rampasan RM2.6 juta

Ernalisa Othman
Februari 17, 2021 09:15 MYT
Polis merampas sebanyak 1,746 unit mesin melombong bitcoin dalam serbuan bersama pasukan SEAL TNB Zon Selatan itu. - Gambar/ Bernama
JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan sindiket perlombongan matawang kripto bitcoin secara haram terbesar di negeri itu membabitkan nilai rampasan sebanyak RM2.6 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya turut menahan tujuh lelaki tempatan berusia 24 hingga 64 tahun dalam serbuan di 21 premis rumah kedai di Johor Bahru Selatan, Seri Alam, Tangkak serta Muar dalam operasi selama dua hari bermula kelmarin.
Katanya, pihaknya merampas sebanyak 1,746 unit mesin melombong bitcoin dalam serbuan bersama pasukan Special Engagement Against Losses (SEAL) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Zon Selatan.
"Berdasarkan siasatan, sindiket ini beroperasi sejak awal tahun lalu. Mereka yang ditahan disyaki mendalangi aktiviti berkenaan dengan menjaga premis dan mesin perlombongan bitcoin.
"Selain itu, kita dapati satu mesin bitcoin ini boleh dibeli di atas talian dengan harga antara RM200,000 hingga RM300,000," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, kegiatan mengubah suai pendawaian dengan tujuan mencuri arus elektrik bagi menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin itu telah menyebabkan TNB kerugian mencecah RM8.6 juta.
"Sepanjang tahun lalu, secara keseuruhan TNB kerugian sebanyak RM628 juta termasuk kira-kira RM90 juta di Johor akibat aktiviti perlombongan haram bitcoin berkenaan," katanya.
Ayob tidak menolak kemungkinan sindiket itu mempunyai rangkaian dengan sindiket di negeri lain dan pihaknya sedang memburu saki baki ahli sindiket berkenaan termasuk dalangnya.
Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 397/427 Kanun Keseksaan kerana mencuri arus elektrik dan melakukan khianat.
Katanya, TNB juga akan mengambil tindakan dibawah Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 ke atas pemilik akaun yang berdaftar dengannya.
#polis #Johor #TNB #SEAL team #Bitcoin #serbu #rampas #perlombongan haram #premis rumah kedai #ayob khan mydin pitchay