MALAYSIA
Polis Johor rampas 80 kg syabu bernilai hampir RM2.6 juta, tiga ditahan

Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad (tiga, kiri), bersama pegawai yang bertugas menunjukkan rampasan dadah yang dipamerkan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Polis Johor merampas dadah jenis syabu seberat 80 kilogram (kg) bernilai hampir RM2.6 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Penawar, Kota Tinggi di sini pada 2 Sept lepas.
Ringkasan AI
- Polis Johor merampas 80 kg syabu bernilai RM2.57 juta dalam serbuan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, dan menahan tiga suspek termasuk seorang wanita warga Indonesia.
- Sindiket dipercayai menjadikan rumah berpagar sebagai stor transit dadah untuk pasaran luar negara, dan rampasan boleh menjejaskan bekalan kepada lebih 400,000 penagih.
- Jumlah rampasan keseluruhan hampir RM3 juta, termasuk kenderaan, wang tunai dan barang kemas, manakala dua suspek didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau.
"Hasil serbuan, JSJN Johor telah merampas dadah disyaki syabu seberat 80,330 gram atau dianggarkan 80 kg, yang dibungkus dalam 76 bungkusan minuman teh Cina. Nilai anggaran rampasan dadah adalah RM2,570,560," katanya pada sidang media di IPK Johor, hari ini.
Ab Rahaman berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan menggunakan kawasan rumah teres berpagar dan berpengawal sebagai stor transit sebelum dadah diedarkan ke pasaran luar negara terutamanya di Riau dan Pulau Batam, Indonesia.
Sindiket tersebut dipercayai aktif sejak April 2024 dan jumlah syabu yang dirampas boleh digunakan oleh kira-kira 401,650 penagih jika terlepas ke pasaran.
Polis katanya turut menyita empat kereta bernilai RM341,000, dua motosikal bernilai RM40,000, wang tunai RM4,000, mata wang rupiah Indonesia berjumlah Rp14 juta (bersamaan kira-kira RM3,607) serta barang kemas bernilai RM21,497.93.
Beliau berkata secara keseluruhan, nilai rampasan dadah dan harta berkaitan adalah hampir RM3 juta dan ketiga-tiga suspek kini direman hingga esok untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika dipenjarakan seumur hidup, pesalah juga boleh dikenakan sebatan tidak melebihi 15 kali.
Wanita warga Indonesia itu turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 untuk pengesahan ketulenan dokumen perjalanan.
Ab Rahaman berkata hasil saringan urin mendapati dua suspek positif dadah jenis metamfetamina dengan semakan rekod menunjukkan lelaki tempatan terbabit mempunyai sembilan rekod jenayah lampau manakala wanita tempatan memiliki enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Selain itu, beliau berkata setakat 1 Jan hingga 3 Sept tahun ini, JSJN Johor menahan 17,242 individu atas pelbagai kesalahan dadah dengan rampasan dianggarkan seberat 1.47 tan dadah selain dadah dalam bentuk cecair sebanyak 6,921.45 liter bernilai anggaran RM125.88 juta.
Beliau turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah menerusi 'hotline' JSJN 012-2087222.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami