Polis jumpa 20 kubur mangsa pemerdagangan manusia di Wang Kelian

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 22, 2015 14:12 MYT
Kesemua kubur terbabit difahamkan ditemui di kawasan Bukit Wang Burma, tidak jauh dari lokasi 39 daripada 116 mayat yang digali keluar sebelum ini. - Gambar Fail
Sekurang-kurangnya 20 lagi kubur yang dipercayai mengandungi mayat mangsa pemerdagangan manusia ditemui di kawasan bukit di Wang Kelian, di sini, hari ini.
Kesemua kubur terbabit difahamkan ditemui di kawasan Bukit Wang Burma, tidak jauh dari lokasi 39 daripada 116 mayat yang digali keluar sebelum ini.
Menurut sumber polis, kubur terbabit ditemui di kawasan puncak Bukit Wang Burma, beberapa hari lalu.
Usaha penggalian sedang dijalankan bagi mengeluarkan mayat berkenaan.
BACA: Pemerdagangan manusia: Ahmad Zahid sahkan beberapa rakyat Malaysia ditahan
BACA: Mangsa sindiket di Wang Kelian mati akibat kebuluran
Pada 25 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penemuan 28 kem haram serta 139 disyaki kubur mangsa pemerdagangan manusia di puncak bukit di sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian.
Kesemua jenazah itu dikebumikan di tanah perkuburan di Pokok Sena, Kedah.
Khalid sebelum ini memaklumkan, lokasi penempatan manusia yang dibongkar itu hanya transit kepada pendatang asing yang ingin memasuki Malaysia dan bukan laluan penyeludupan manusia.
Mangsa yang dibawa sindiket dari negara asal mereka akan dikurung bagi tempoh tertentu sementara menunggu bayaran daripada keluarga masing-masing.
#Bangladesh #kubur #padang besar #pemerdagangan manusia #Rohingya #Wang Kelian