ALOR SETAR: Polis Kedah telah menerima 12 laporan berkaitan kenyataan yang dikeluarkan oleh Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli semasa Program Himpunan Kedah Berselawat Berbusana anjuran Kerajaan Negeri Kedah pada 24 Jun lalu.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata, Bekas Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Kedah itu juga telah dipanggil dan keterangan telah diambil semalam (Selasa).

"Kita telah membuka satu siasatan di bawah seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan ataupun kaum dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 siastan ini pula diambil alih oleh Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, pada Rabu.

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) telah membuat laporan polis terhadap seorang pemimpin Pas Kedah itu yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berkaitan isu ‘musuh Allah’ ketika berucap pada program yang diadakan di Stadium Darul Aman yang dihadiri puluhan ribu peserta.