ALOR SETAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah melumpuhkan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dengan penahanan sembilan lelaki menerusi tiga tangkapan berasingan di Kuala Nerang pada Khamis dan Sabtu lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam ketiga-tiga tangkapan itu, pihaknya berjaya merampas dadah jenis syabu seberat lebih 20 kilogram (kg) dan 130 kg daun ketum yang dianggarkan bernilai lebih RM730,000.

"Tangkapan pertama yang dibuat Khamis pada pukul 10.30 malam itu, polis menahan seorang lelaki Siam berumur 52 tahun dihadapan sebuah rumah di Kampung Lamdin, Naka dan merampas sebuah beg galas yang mengandungi beberapa bungkusan plastik berisi dadah syabu seberat lebih 18 kg.

"Rentetan tangkapan pertama, polis kemudiannya telah membuat serbuan lanjut di sebuah rumah di kampung yang sama pada pukul 11 malam dan menahan enam lelaki termasuk seorang warga Thailand yang berumur antara 26 hingga 39 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di bilik stor dibahagian tepi rumah berkenaan telah menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu dianggarkan seberat 22.90 gram bersama alatan untuk menghisap dadah.

"Pemeriksaan lanjut di belakang rumah itu turut menjumpai 18 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum yang dianggarkan seberat 130kg.

"Dalam tangkapan ketiga pada Sabtu pukul 6 pagi pula, polis menahan dua lelaki berumur 25 dan 34 tahun di kawasan stesen minyak di Kampung Padang Kerasak. Kedua-dua suspek yang yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri, bagaimanapun berjaya ditahan," katanya.

Fisol berkata, hasil pemeriksaan terhadap sebuah beg yang dicampak oleh kedua-dua suspek itu telah menjumpai satu bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan kristal syabu dan satu bungkusan plastik lutsinar berisi dadah syabuyang dianggarkan seberat lebih dua kilogram.

"Lapan daripada suspek positif dadah dan ada diantara mereka yang mempunyai rekod jenayah lampau. Kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.