Polis Kelantan kenal pasti suspek pecah masuk Pejabat Menteri Besar

Bernama
April 18, 2017 11:28 MYT
Berdasarkan rakaman, suspek dilihat berada di kawasan itu antara 2 dan 3 pagi dan dipercayai memasuki bangunan dengan mengumpil pintu menggunakan besi tajam. Gambar hiasan
Polis Kelantan mengenal pasti seorang lelaki disyaki suspek yang memecah masuk ke Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Perbendaharaan Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Kota Bharu Supt Setapa Yusuf berkata lelaki berusia 39 tahun dan berasal dari jajahan ini dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
"Berdasarkan rakaman, dia dilihat berada di kawasan itu antara 2 dan 3 pagi dan dipercayai memasuki bangunan dengan mengumpil pintu menggunakan besi tajam.
"Suspek juga dipercayai melarikan wang tunai kira-kira RM1,500 serta dua bentuk cincin zamrud bernilai RM1,000 milik pekerja di situ, " katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini hari ini.
Setapa berkata lelaki itu didapati mempunyai 13 rekod lampau sejak 2000 membabitkan jenayah pecah rumah dan curi kenderaan.
"Kami sedang mengesan suspek ketika ini dan yakin dia akan ditangkap pada bila-bila masa," katanya.
Setiausaha Sulit Menteri Besar Kelantan, Ahmad Syazwan Mohd Hasan membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu pagi semalam susulan kejadian itu. -- Bernama
#Kelantan #Kompleks Kota Darul Naim #Kota Bharu #pecah masuk #Pejabat Menteri Besar #Supt Setapa Yusuf #suspek