KUALA LUMPUR: Polis pada Selasa mengeluarkan satu lakaran wajah dan beberapa imej gambar empat suspek yang disyaki terbabit dalam rompakan di sebuah kedai emas di Kepong, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata lakaran wajah salah seorang daripada empat suspek itu berdasarkan keterangan saksi manakala beberapa gambar suspek dan motosikal yang digunakan diambil daripada kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.

Beliau berkata dua motosikal yang digunakan dalam rompakan tersebut dikenal pasti jenis Yamaha Y150ZR berwarna hitam dan firus dengan menggunakan nombor plat pendaftaran palsu.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan suspek boleh menyalurkan maklumat berkenaan ke Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Sentul di talian 03-40482206 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam kejadian tersebut suspek yang memakai topeng muka dan bertopi keledar, serta bersenjatakan tukul dan kapak telah memecahkan almari pameran dan melarikan sejumlah barang kemas berupa rantai leher serta gelang tangan bernilai kira-kira RM50,000.

Dalam perkembangan lain, polis sedang mengesan lapan lelaki tempatan disyaki terlibat dalam pergaduhan di tempat letak kereta Rumah Pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Setapak Jaya, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata pergaduhan berkenaan dipercayai berlaku pada kira-kira jam 7 pagi yang kemudian dirakam oleh penduduk kejiranan di situ dan ditularkan di media sosial.

"Dalam video berkenaan, enam lelaki tempatan bersenjatakan kunci padlock, topi keledar dan pisau memukul dua lelaki tempatan yang lain di tempat kejadian dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Insp Emilia Jamil (016-2479017), Pegawai Penyiasat Kanan ASP S. Gopal (012-5120242) atau talian hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau mana-mana balai polis terdekat.

-- BERNAMA