KOTA BHARU: Polis sedang mengesan empat lelaki yang dikehendaki bersabit beberapa kesalahan jenayah yang dilakukan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata mereka ialah Mohd Fared Abdul Ghani, 56, Mohd Izani Ibrahim, 42, Mohd Haziman Hikamarhakimi, 37, dan Wan Sharilazry Wan Mohd Sukry, 35.

Beliau berkata Mohd Fared melakukan jenayah bersabit Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan; Mohd Izani bersabit Seksyen 324 Kanun Keseksaan; Mohd Haziman bersabit Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan dan Wan Sharilazry bersabit Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai agar dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berhubung kesemua suspek," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosdi juga meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Jamaluddin Shah Jawan di talian 019-500 0176 atau 09-775 2200 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA