KOTA BHARU: Polis sedang mengesan individu yang dirakam menendang seorang penunggang motosikal dalam video tular di media sosial, dipercayai berlaku di kawasan Pantai Sri Tujuh di Tumpat.
Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata pihaknya menerima laporan polis semalam berhubung video berkenaan yang dimuat naik di Facebook “Info Tumpat Loni”.
“Polis Daerah Tumpat sedang menjalankan siasatan bagi mengesan individu yang terlibat dalam rakaman tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mohd Khairi berkata setakat ini, penunggang motosikal berkenaan masih belum membuat laporan polis.
Sehubungan itu, beliau meminta mangsa serta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman asal termasuk rakaman kamera papan pemuka supaya tampil membantu siasatan.
Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Muhamad Zulazri Mohammad di talian 011-11486922 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara telus dan adil bagi mengenal pasti keadaan sebenar.
-- BERNAMA