MALAYSIA

Polis kesan pemandu Axia baling kon di Plaza Tol LDP

Kabeer Aziz 09/02/2026 | 05:15 MYT
Video berdurasi pendek itu menunjukkan seorang lelaki membaling kon ke arah sebuah kenderaan lain di lorong tol. - Tangkap layar video tular
KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan pemilik sebuah kereta Perodua Axia merah yang dipercayai terlibat dalam insiden membaling kon lalu lintas di Plaza Tol Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) seperti tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat, berkata laporan polis dibuat oleh seorang anggota polis pada jam 1.37 pagi, selepas mengesan video tular di Facebook bertajuk “Pemandu Axia Naik Hantu Baling Kon di Plaza Tol Petaling Jaya LDP”.

Video berdurasi pendek itu menunjukkan seorang lelaki memberhentikan kenderaannya secara tiba-tiba ketika trafik sesak sebelum membaling kon ke arah sebuah kenderaan lain di lorong tol.

ACP Wan Azlan memaklumkan bahawa semakan awal mendapati posting tersebut telah menerima perhatian meluas di media sosial, namun pemilik kenderaan belum tampil membuat laporan.

"Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (perbuatan khianat), Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, dan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (halangan atau gangguan jalan raya)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan insiden diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Mohammad Faiz Naufal bin Zakaria di talian 019-485 8907.

ACP Wan Azlan turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Polis memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perbuatan membahayakan pengguna jalan raya.





#jenayah #video tular #Axia baling kon #PDRM