KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan pemilik akaun Twitter 'Zulhelmiismail_ @iAm_ZuL' bagi membantu siasatan berhubung dakwaan anggota polis meminta suapan ketika bertugas di sekatan jalan raya Plaza Tol Bangi yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 4.50 pagi tadi berhubung satu ciapan memaparkan sekeping gambar anggota polis yang lengkap berpakaian uniform dituduh meminta suapan, sekali gus mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Ciapan berkenaan dimuat naik pada pukul 9.24 malam semalam di Twitter yang kemudiannya telah dipadam oleh pemilik akaun Twitter tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana mengaibkan kehormatan seseorang serta memuat naik perkongsian palsu dan jelik di laman sosial.

Mohd Zaid berkata Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang juga akan menjalankan siasatan, jika wujud salah laku polis.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini, boleh menghubungi mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Insp Mu'az Mazlan di talian 017-9788804 atau 03-8911 4222," katanya.

-- BERNAMA