NATIONAL

Polis kesan saksi lain kemalangan pasangan suami isteri naiki motosikal berkuasa tinggi

Bernama 12/05/2025 | 14:45 MYT
Kemalangan dipercayai berlaku apabila suspek cuba memotong sebuah motosikal lain, sebelum gagal mengelak motosikal mangsa dan melanggar bahagian kanan kenderaan itu. - Gambar fail/Facebook
KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan saksi lain bagi membantu siasatan kemalangan membabitkan pasangan suami isteri menaiki motosikal berkuasa tinggi, yang dilanggar sebuah kereta pacuan empat roda sebelum Plaza Tol Duta menghala ke pusat bandar, Sabtu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata siasatan kes berkenaan sedang diteruskan, berikutan reman terhadap pemandu kereta yang melanggar mangsa disambung sehari lagi bermula hari ini.
"Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya esok.
"Sebaik ada arahan pertuduhan dibuat, maka pertuduhan akan dibuat ke atas pemandu berkenaan esok juga," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Media melaporkan dalam kejadian pada 2.30 petang itu, penunggang motosikal lelaki berusia 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan kecederaan pada buku lali, manakala isterinya berusia 49 tahun mengalami kecederaan parah termasuk patah buku lali dan tulang rusuk serta pendarahan dalam otak, dengan kedua-duanya sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila suspek cuba memotong sebuah motosikal lain, sebelum gagal mengelak motosikal mangsa dan melanggar bahagian kanan kenderaan itu.
Suspek berusia 32 tahun itu kemudian direman selama dua hari selepas membuat laporan mengenai kemalangan berkenaan pada 6.55 petang hari yang sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Insp Muhammad Farhad Kamaruddin di talian 011-31903054 atau balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
#Hospital Sungai Buloh #penunggang motosikal #suami isteri #pendarahan dalam otak