MALAYSIA

Polis kesan tahanan reman lari dari Hospital Sungai Bakap

Bernama 25/01/2026 | 04:10 MYT
Polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana kelalaian penjawat awam yang menyebabkan seseorang melarikan diri daripada pengurungan sah. --fotoBERNAMA
NIBONG TEBAL: Polis melancarkan Op Tutup bagi mengesan seorang tahanan reman yang melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap (HSB) di sini, Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata suspek, dikenali sebagai S. Clemont, 47, didapati melarikan diri sekitar 3.45 petang dengan memakai pakaian hospital berwarna biru dan putih.

Beliau berkata laporan mengenai kejadian itu diterima daripada anggota polis yang ditugaskan mengawal suspek.

"Ketika melarikan diri, suspek masih berada dalam tahanan reman bagi kes di bawah Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan, iaitu pecah rumah dan mencuri motosikal di kawasan Sungai Bakap.

"Suspek dibawa ke HSB pada 22 Jan bagi mendapatkan rawatan selepas mengalami sawan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana kelalaian penjawat awam yang menyebabkan seseorang melarikan diri daripada pengurungan sah, serta Seksyen 224 Kanun Keseksaan, iaitu melarikan diri daripada tahanan sah di sisi undang-undang.

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi Pegawai Penyiasat kes, ASP Cheok Kian Soon, di talian 012-6193878 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan di 04-5858222, atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA


#Hospital Sungai Bakap #tahanan reman lari dari hospital #Op Tutup #polis pulau pinang