KUANTAN: Polis berjaya mengesan taktik penyalahgunaan pas pekerjaan oleh segelintir individu untuk merentas negeri bagi tujuan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, taktik tersebut dikesan selepas pemeriksaan secara terperinci dilakukan ke atas dokumen yang dikemukakan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara.

Pemeriksa yang diperketatkan dilakukan bagi mengelak cubaan melepasi SJR tanpa kebenaran sah dan setakat ini sebanyak 1,333 buah kenderaan telah diarahkan berpatah balik atas pelbagai alasan tidak munasabah.

"Banyak kenderaan kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Bentong ni diperiksa satu persatu secara teliti dan apa yang saya nak beritahu memang banyak cubaan-cubaan yang sedang dibuat untuk melepasi sekatan jalan raya menggunakan berbagai-bagai taktik.

"Misalnya, di Bentong banyak yang menggunakan pas-pas pekerjaan untuk melepasi sekatan jalan raya sedangkan tujuan utamanya untuk balik beraya di kampung," katanya selepas membuat pemeriksaan SJR di Tanjung Lumpur pada Isnin.

Abd Rahim menjelaskan, SJR ini dilakukan bagi memastikan tiada individu menyalah guna atau mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

Katanya lagi, masyarakat seperti terlupa tujuan SJR dilaksanakan iaitu bukan untuk menyusahkan mereka, sebaliknya mahu menyekat penularan jangkitan COVID-19.

Sebanyak 361 SJR di seluruh negara telah dibuka bagi memantau pergerakan kenderaan merentas negeri dengan membabitkan 6,579 anggota.

Sementara itu, mengulas tindakan segelintir penduduk bertindak membakar penghadang dan kawat duri di satu laluan tikus di di Kampung Gong Lapang, Besut, Terengganu pada Ahad, Abd Rahim meminta orang ramai supaya bersabar dan memahami bahawa tugas polis adalah menjalankan arahan.

"Perbuatan-perbuatan berkenaan adalah satu salah satu daripada kesalahan dalam undang-undang.

"Negara kita ada undang-undang, saya minta supaya orang ramai bersabar kerana kita pun diberi arahan... kalau kita tak bersabar maka esok jangan kita kesal negara kita menjadi macam negara India dan sebagainya di mana keadaan COVID-19 di sana tidak lagi terkawal," tegas beliau.