Polis Pulau Pinang akan menyemak semula klasifikasi siasatan sekiranya laporan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat menunjukkan terdapat unsur jenayah dalam kejadian kebakaran di Tanjung Bungah.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata polis akan mengklasifikasikan semula siasatan daripada laporan kebakaran kepada Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana dengan menggunakan api.

Beliau berkata setakat ini polis telah menerima laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Sementara waktu ini, kita klasifikasikan di bawah laporan kebakaran. Pihak kami telah terima 26 laporan daripada mangsa iaitu tuan kenderaan.

"Sekiranya laporan bomba ada menunjukkan unsur jenayah, kami akan klasifikasi semula di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.

Abdul Rahim berkata demikian dalam sidang media di George Town pada Khamis.

Dalam kejadian jam 2 pagi semalam, kesemua 32 motosikal dan enam kereta yang diletakkan di parkir pangsapuri di Puncak Erskine, musnah dalam kebakaran.

Pihak bomba yang bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan mendapati api marak dan asap tebal menyebabkan anggota bomba menghadapi kesukaran untuk memadamkan kebakaran.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.