Skip to main content

Malaysia

Polis klasifikasi semula kes koperal pukul rakan setugas sebagai kes bunuh

Prebet Muhammad Amirul Raziq dipercayai dipukul dalam satu kejadian di Kem Batalion 25 RAMD Bentong, pada 30 Mac lepas disahkan meninggal dunia.
Polis berkata permohonan untuk menjalankan bedah siasat terhadap mangsa juga telah dibuat bagi mengenal pasti punca kematian.

KUANTAN: Polis mengklasifikasikan semula kes seorang anggota tentera berpangkat koperal memukul tujuh anggota lain, termasuk menyebabkan seorang daripada mereka cedera parah di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja, Bentong, 31 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata kes itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh selepas seorang daripada mangsa meninggal dunia pagi tadi.

Advertisement

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada 9.34 pagi, menyebabkan siasatan kes berkenaan kini dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan perkembangan itu, kertas siasatan yang sebelum ini dibuka di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan diklasifikasikan semula kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Zaiham berkata permohonan untuk menjalankan bedah siasat terhadap mangsa juga telah dibuat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Pihak polis turut akan meneliti semula keterangan yang telah diambil sebelum ini, dan jika perlu sambungan rakaman percakapan saksi akan dilakukan bagi membantu siasatan,” katanya.

Pada 6 April lepas, media melaporkan seorang tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bentong atas tujuh pertuduhan mencederakan anggota lain, bulan lepas. 

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video