Polis lakukan operasi pencarian di banglo dipercayai milik bekas pemimpin negara

Harits Asyraf Hasnan
Jun 11, 2018 07:01 MYT
Beberapa kotak dipercayai mengandungi dokumen dibawa keluar daripada kediaman itu dan dimuatkan dalam sebuah van. - Foto Astro AWANI
Polis hari ini melancarkan operasi mencari di sebuah rumah banglo dua tingkat dipercayai milik bekas pemimpin negara di Presint 10 di sini.
Operasi dipercayai melibatkan kes berprofil tinggi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan operasi pencarian sekitar 1.30 petang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari JSJK Bukit Aman.
Operasi dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Beberapa kotak dipercayai mengandungi dokumen turut dilihat dibawa keluar daripada kediaman itu dan dimuatkan dalam sebuah van.
Van tersebut yang tidak mempunyai sebarang logo PDRM meninggalkan banglo tersebut pukul 3.10 petang.
#AMLA #baglo #Bukit Aman #jenayah #keganasan #operasi #PDRM #polis #serbuan #siasatan