KUALA TERENGGANU: Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung isu pengibaran bendera Israel di sebuah premis di Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata pihaknya kini dalam proses untuk menyerahkan kertas siasatan tersebut kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN).

Jelasnya ia bagi membolehkan tindakan lanjut dijalankan ke atas seorang lelaki berusia 30-an disyaki pelaku yang bertindak mengibarkan bendera tersebut.

Menurut Mazli, setakat ini polis telah mengambil keterangan daripada seorang lelaki berusia 30-an disyaki pelaku yang bertindak mengibarkan bendera tersebut.

"Untuk kes bendera Israel yang dinaikan ini kita telah menyiapkan siasatan dan kita akan kepada PPN untuk dapatkan arahan.

"Kita siasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963. Yang kedua Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, iaitu perbuatan dengan niat untuk mengganggu keamanan.

"Kita kemudian juga akan siasat di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengibarkan sebarang bendera yang boleh menyentuh sensitiviti semua pihak.

Pada Jumaat lalu polis Terengganu telah mengambil keterangan seorang peniaga berusia lingkungan 30-an yang didakwa mengibarkan bendera Israel di sebuah premis di negeri itu.

Sebelum ini tular di media sosial Facebook beberapa keping gambar bendera Israel yang dikibarkan di sebuah premis perniagaan dikatakan terletak di Bukit Payung, Marang.

Tindakan lelaki terbabit mencetus kecaman dan kemarahan pengguna media sosial yang turut meninggalkan komen berbaur ugutan malah ada yang mahu bertindak sendiri terhadap pemiliknya.