MALAYSIA
Polis lengkapkan kertas siasatan doktor berkelakuan tidak senonoh

Mohd Alwi berkata pihaknya juga telah mengemukakan keputusan laporan kimia daripada Jabatan Forensik dalam kertas siasatan itu seperti yang dikehendaki oleh pejabat TPR. - Gambar fail/Bernama
KEPALA BATAS: Polis Pulau Pinang telah melengkapkan dan menyerahkan semula kertas siasatan kes seorang doktor lelaki yang sebelum ini ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh serta mencabul pesakit wanitanya kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata pihaknya juga telah mengemukakan keputusan laporan kimia daripada Jabatan Forensik dalam kertas siasatan itu seperti yang dikehendaki oleh pejabat TPR.
"Kertas siasatan yang terbaharu itu membabitkan tiga kes yang dilaporkan di daerah Timur Laut melibatkan doktor berkenaan yang berkelakuan tidak senonoh terhadap pesakit wanita dan kita sekarang ini menunggu keputusan daripada pihak TPR bagi arahan lanjut.
"Satu lagi kes yang dilaporkan di daerah Barat Daya, siasatan di peringkat Kontinjen Pulau Pinang telah selesai dan akan dirujuk kepada Bahagian D5 (Perundngan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam masa terdekat sebelum diserahkan kepada pejabat TPR," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah bagi Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.Mohd Alwi berkata doktor berusia 43 tahun itu terlibat dalam tiga kes di daerah Timur Laut pada Februari dan Mac lepas kerana berkelakuan tidak senonoh terhadap pesakit wanitanya, manakala satu lagi kes dilaporkan 21 Julai lepas di daerah Barat Daya, iaitu dakwaan mencabul pesakit wanita.
Bagi tiga kes di Timur Laut, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, manakala satu kes di Barat Daya disiasat mengikit Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan lain, Mohd Alwi berkata polis masih menunggu arahan lanjut daripada pejabat TPR berhubung kes seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang disyaki mencederakan seorang jurujual wanita menggunakan objek menyerupai grip pistol dalam kejadian di Jalan Kelawai, George Town dekat sini 1 Jun lepas.
Beliau berkata siasatan terhadap kes itu telah selesai dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada pejabat TPR kira-kira sebulan yang lepas untuk tindakan lanjut.
Menurut laporan media, seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun bergelar Datuk Seri ditahan pada 9.30 pagi pada 3 Jun selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut susulan laporan polis dibuat mangsa yang berusia 28 tahun dan kejadian pada 2.20 pagi itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham ketika di jalan raya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami