[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
MALAYSIA

Polis lumpuh sindiket cecair vape kokain sasar pasaran antarabangsa

Bernama 23/06/2025 | 12:00 MYT
Cubaan satu sindiket antarabangsa menyeludup dadah jenis kokain dalam bentuk katrij vape melalui Malaysia terbongkar apabila polis berjaya menahan empat individu dan merampas hampir 5,000 katrij bernilai RM 7.2 juta. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Cubaan satu sindiket antarabangsa menyeludup dadah jenis kokain dalam bentuk katrij vape melalui Malaysia terbongkar apabila polis berjaya menahan empat individu dan merampas hampir 5,000 katrij bernilai RM 7.2 juta dalam serbuan di Ampang Jaya, Khamis lepas.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun dan tiga lelaki warga Singapura berumur antara 25 hingga 46 tahun.
Beliau berkata dalam serbuan kira-kira 11.45 pagi itu, pasukan JSJN menahan sebuah Toyota Vellfire di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel di ibu negara dan menemui 10 kotak mengandungi 4,958 katrij vape disyaki mengandungi cecair kokain dengan anggaran berat 9,420 mililiter (ml).
"Dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM7.2 juta dan siasatan mendapati sindiket itu menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum penghantaran melalui perkhidmatan kurier udara ke pasaran antarabangsa," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Menurut Mat Zani, siasatan awal mendapati sindiket terbabit yang dipercayai aktif sejak Mac lepas menyewa sebuah premis kondominium Airbnb di Ampang dengan kadar RM300 sehari sebagai lokasi memproses dan membungkus katrij kokain bagi penghantaran ke luar negara.
"Setiap katrij vape yang mengandungi 1.9ml cecair kokain boleh dijual pada harga sekitar RM1,500 seunit di pasaran antarabangsa memandangkan dadah jenis kokain ini sukar diperoleh di rantau Asia Tenggara kerana harganya yang mahal dan biasanya digunakan oleh golongan elit," katanya.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati seorang suspek positif dadah jenis ketamin manakala dua lagi mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes narkotik.
"Selain rampasan dadah, polis turut menyita pelbagai barangan bernilai RM2,975 untuk tindakan perlucuthakan harta, menjadikan jumlah keseluruhan sitaan dan rampasan dalam operasi ini RM7.29 juta.
"Ini adalah kes pertama rampasan dadah jenis kokain dalam bentuk katrij vape yang dikesan di Malaysia dan kami percaya modus operandi ini digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa serta memudahkan penghantaran ke luar negara," katanya.
Kesemua suspek kini direman tujuh hari bermula 20 hingga 26 Jun ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
-- BERNAMA
#sindiket antarabangsa #cecair vape #kokain #JSJN Bukit Aman