NATIONAL

Polis Marin patahkan cubaan seludup 44 kampit beras Siam

Bernama 26/05/2025 | 00:45 MYT
Pemeriksaan terhadap lori menemukan 44 kampit beras Siam, dipercayai diseludup dari negara jiran dengan anggaran berat 25 kilogram setiap kampit. - Foto PPM Wilayah Tiga
KOTA BHARU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga mematahkan cubaan menyeludup masuk 44 kampit beras Siam seberat 1.1 tan dalam operasi di Kampung Mahligai dekat Gunong, Bachok semalam.

Komander PPM Wilayah Tiga ACP Zulafendy Hassan berkata dalam Ops Taring Landai/Kontraban kira-kira 11 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin, Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor telah mengesan sebuah lori jenis Hino dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh.

Beliau berkata sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu lori berkenaan bertindak memecut lori sebelum memberhentikannya di bahu jalan Kampung Mahligai.

"Suspek kemudiannya melarikan diri ke kawasan semak berhampiran. Usaha mengejar suspek dijalankan, namun dia gagal ditemukan.

"Pemeriksaan terhadap lori berkenaan menemukan 44 kampit beras Siam, dipercayai diseludup dari negara jiran dengan anggaran berat 25 kilogram setiap kampit. Nilai keseluruhan termasuk lori berjumlah RM84,400," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulafendy berkata kesemua barangan dirampas telah dibawa ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor sebelum diserahkan kepada Jabatan Kawal Selia Padi dan Beras Negara, Cawangan Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 20, Akta Padi dan Beras Negara 1994 kerana memiliki dan mengawal beras secara tidak sah yang boleh menimbulkan syak melakukan kesalahan," katanya.


-- BERNAMA

#polis marin #seludup #beras Siam #Bachok