NATIONAL
Polis Marin rampas e-waste bernilai lebih RM33 juta di Meru

Rusley menunjukkan gambar barangan rampasan ketika sidang media mengenai tangkapan dan rampasan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah l hari ini. - Foto Bernama
KLANG: Polis Marin Wilayah 1 merampas sejumlah 1.23 juta kilogram (kg) sisa elektronik (e-waste) bernilai RM33.18 juta dalam serbuan di sebuah kilang pemprosesan barangan lusuh di Taman Perindustrian Meru, di sini, semalam.
Ringkasan AI
- Polis Marin Wilayah 1 merampas 1.23 juta kilogram sisa elektronik bernilai RM33.18 juta di sebuah kilang di Taman Perindustrian Meru.
- Seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun ditahan, dan siasatan mendapati kilang tersebut mempunyai lesen untuk memproses barangan lusuh, bukan e-waste.
- Barang yang dirampas termasuk tembaga, aluminium, dan pelbagai mesin, dengan semua hasil rampasan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar Selangor untuk siasatan lanjut.
"Pemeriksaan lanjut di premis menemukan sejumlah barangan buangan yang dikategorikan sebagai Buangan Terjadual dalam jadual pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling Terjadual 2005.
"Seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun yang juga pekerja di kilang itu ditahan manakala usaha mengesan pemilik premis yang dipercayai warga tempatan masih dijalankan," katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah 1 di Pulau Indah di sini hari ini.
Rusley berkata barangan yang dirampas merangkumi tembaga (16,100 kg), aluminium yang sudah diproses (207,900kg), aluminium belum diproses (112,000kg), aluminium sudah dicampur (7,000kg), campuran e-waste yang belum diproses (23,100kg), sisa e-waste campuran (787,500kg) dan aluminium dimampat (81,000kg).
Beliau berkata turut dirampas ialah tiga forklift, dua alat penimbang, lori Daihatsu Delta, mesin e-waste, mesin dewatering dan tiga mesin conveyer.
Rusley berkata kesemua hasil rampasan diserahkan kepada pihak JAS Selangor untuk siasatan lanjut.
"Siasatan juga menunjukkan semua e-waste yang diproses dipercayai diperoleh dari luar negara dengan modus operandi menjalankan operasi dengan berselinding di sebalik kilang barang lusuh," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami