Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Polis, MCMC buru 'pakar bedah' dakwa terlibat bedah siasat Zara Qairina - Fahmi

Umavathi Ramayah 16/08/2025 | 10:00 MYT
Fahmi Fadzil memberitahu, semakan Kementerian Kesihatan mengesahkan lelaki tersebut bukan kakitangan kementerian dan tidak pernah terlibat dalam proses bedah siasat tersebut. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengesan seorang individu yang mendakwa dirinya 'pakar bedah' kononnya terlibat dalam proses bedah siasat ke atas jenazah pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Polis dan MCMC sedang mengesan individu yang mendakwa dirinya 'pakar bedah' dalam siaran langsung TikTok berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir, walaupun disahkan bukan kakitangan KKM atau terlibat dalam bedah siasat.
  • Individu tersebut menyebarkan maklumat palsu dan spekulatif, termasuk dakwaan kononnya mangsa terjun sendiri dari bangunan sekolah, yang boleh mengganggu siasatan dan menimbulkan kekeliruan awam.
  • Akaun TikTok individu itu telah ditukar kepada mod private, dan siasatan dijalankan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara.


Dalam satu siaran langsung di platform TikTok pada Rabu lalu, 'pakar bedah' itu memberi gambaran berbaur konklusi seolah-olah mangsa terjun sendiri dari bangunan sekolah.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberitahu, semakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan lelaki tersebut bukan kakitangan kementerian itu, apatah lagi terlibat dalam proses bedah siasat tersebut.

"Malah, KKM melalui Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Dr Jessie Hiu yang mengetuai proses bedah siasat remaja berkenaan turut menegaskan individu terbabit bukan sebahagian daripada pasukan perubatan tersebut.

"Malangnya, kandungan itu, tular sejak petang semalam (Jumaat) dengan ia memberi gambaran seolah-olah perkara yang diungkapkannya itu benar-benar berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2025 di Institut Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Melayu, di sini, pada Sabtu.

Fahmi menambah, akaun TikTok individu terbabit juga sudah ditukar kepada mod ‘private’, sekali gus menghalang sebarang interaksi dengannya.

Fahmi menambah, akaun TikTok individu terbabit juga sudah ditukar kepada mod ‘private’, sekali gus menghalang sebarang interaksi dengannya.

Beliau turut memaklumkan, semua info yang diwar-warkan individu itu juga adalah palsu.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya menilai antara berita palsu dan sahih sebelum mempercayainya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk M Kumar sebelum ini memaklumkan, polis membuka 15 kertas siasatan berkaitan berita palsu yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam serta menjejaskan proses siasatan kes kematian remaja itu.










#Kementerian Kesihatan Malaysia #Zara Qairina Mahathir #Fahmi Fadzil #bedah siasat #pakar bedah #TikTok #MCMC #terkini