[TERKINI] Kapal FFC, Thousand Madleens diserbu Israel, 8 delegasi Malaysia terlibat
MALAYSIA

Polis Melaka siasat pacuan empat roda tampal pelekat tulisan Hebrew

Bernama 08/10/2025 | 02:25 MYT
Pegawai Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Hairul Amin Madon membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau selepas tular klip video memaparkan sebuah kenderaan berpelekat tulisan Hebrew. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung sebuah kenderaan pacuan empat roda didakwa menampal pelekat tulisan Hebrew di belakang kenderaan itu yang membawa maksud 'Malaysia adalah Rumah Kita' atau 'Malaysia di Tangan Kami'.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata siasatan dijalankan susulan satu laporan polis yang dibuat pegawai khas agama kepada Ketua Menteri Melaka pada 3.32 petang semalam, selepas melihat sebuah video berkaitan tindakan itu di media sosial 'Thread'.

Beliau berkata video berdurasi 14 saat yang tular semalam di media sosial mengundang pelbagai reaksi termasuk kebimbangan dan kemarahan orang ramai terhadap maksud pelekat berkenaan.

"Berdasarkan semakan dijalankan, kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu itu didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 504(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan telus demi memastikan keselamatan dan keharmonian masyarakat sentiasa terjamin.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penyebaran video tersebut.

-- BERNAMA


#tulisan Hebrew #Polis Melaka #video tular #pacuan empat roda