MALAYSIA

Polis Melaka tahan 15 warga Myanmar disyaki terlibat aktiviti pemerdagangan manusia

Bernama 19/12/2025 | 13:40 MYT
Seorang daripada mereka yang ditahan itu disyaki ejen aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran berkenaan, dan polis telah merampas sebuah motosikal serta telefon bimbitnya. - Foto hiasan
MELAKA: Sebanyak 15 warga Myanmar terdiri daripada 10 lelaki dan lima wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran dalam satu OPS Pintas di pekarangan lobi sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam serbuan kira-kira 5 petang semalam, kesemua warga Myanmar berusia 21 hingga 39 tahun itu ditahan hasil risikan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

"Seorang daripada mereka yang ditahan itu disyaki ejen aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran berkenaan, dan polis telah merampas sebuah motosikal serta telefon bimbitnya.

"Kesemua suspek direman sehingga 15 Jan tahun hadapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Christopher berkata pihaknya memandang serius sebarang aktiviti jenayah dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pesalah terlibat dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa menyalurkan maklumat ke IPD Melaka Tengah, bagi membantu membanteras jenayah daripada berlaku.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah, diminta menyalurkannya menerusi talian 06-2842222.

-- BERNAMA

#Polis Melaka #tahan warga Myanmar #aktiviti pemerdagangan manusia #penyeludupan migran