GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

Polis Melaka tumpaskan tiga geng jenayah curi kenderaan, pecah rumah dan tabung masjid

Bernama 02/10/2025 | 12:30 MYT
Polis Melaka menumpaskan tiga geng curi kenderaan, pecah rumah serta tabung masjid dan surau, didalangi 12 individu termasuk dua remaja lelaki dalam Op Pintu/Op Lejang Khas 2025, dari 22 hingga 28 Sept lepas. - Foto hiasan/BERNAMA
MELAKA: Polis Melaka menumpaskan tiga geng curi kenderaan, pecah rumah serta tabung masjid dan surau, didalangi 12 individu termasuk dua remaja lelaki dalam Op Pintu/Op Lejang Khas 2025, dari 22 hingga 28 Sept lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata tiga geng terbabit dikenal pasti sebagai Geng Ah Tee didalangi tiga lelaki yang aktif dalam jenayah curi motosikal dan kenderaan lama, manakala Geng Ah Soon Pekong, yang juga dianggotai tiga lelaki pula aktif dalam jenayah pecah rumah dan curi motosikal.

Beliau berkata Geng Abang Wan pula dianggotai sepasang suami isteri dan dua remaja lelaki yang juga pelajar sekolah masing-masing berusia 13 dan 15 tahun aktif dalam jenayah pecah tabung surau dan masjid selain curi motosikal.

"Kesemua ahli geng berusia 13 hingga 46 tahun itu ditahan di sekitar daerah Melaka Tengah dalam tiga serbuan berasingan yang dijalankan pada akhir September lepas.

"Hasil siasatan awal mendapati kesemua penjenayah terbabit adalah penganggur, selain dua remaja yang masih bersekolah dan ketika ditahan, sembilan daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata modus operandi jenayah ketiga-tiga geng terbabit ialah bergerak secara berkumpulan dengan menyasarkan rumah, masjid dan surau yang tidak berpenghuni serta kenderaan terpakai yang ditinggalkan di kawasan sunyi.

Beliau berkata dengan penangkapan ketiga-tiga geng berkenaan, polis Melaka percaya sebanyak 25 kes jenayah pecah rumah dan curi kenderaan yang dilaporkan di negeri itu berjaya diselesaikan, namun nilai kerugian masih dalam siasatan.

Menurut Dzulkhairi, beberapa barang kes antaranya empat kereta, motosikal (enam), telefon bimbit (lima), sebilah parang serta pelbagai peralatan pecah rumah dan curi kenderaan turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut.

"Sebanyak 314 premis, 179 individu dan 130 kenderaan diperiksa dalam Op Pintu/Op Lejang Khas 2025 yang menyasarkan pencegahan dan pembanterasan jenayah harta benda di sekitar negeri ini," katanya.

-- BERNAMA




#Polis Melaka #Geng curi kenderaan #pecah rumah #curi tabung masjid