Polis Melaka tutup satu laluan sempena Jelajah AKM

Bernama
Oktober 13, 2022 02:00 MYT
Petugas melakukan persiapan ruang pameran menjelang Jelajah AKM negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka dekat Ayer Keroh, 12 Okt 2022. --fotoBERNAMA
MELAKA: Hanya satu laluan ditutup sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Melaka yang akan berlangsung bermula 14 Okt ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata penutupan jalan itu hanya membabitkan bulatan MITC menghala ke laluan masuk Hotel MITC bermula 8 pagi esok hingga 6 petang 16 Okt.
"Orang ramai juga diminta memberi kerjasama dengan pihak berkuasa khususnya polis untuk mengikut arahan atau tunjuk arah yang diberikan serta peraturan sedia ada bagi memastikan kelancaran aliran trafik," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Pelbagai aktiviti dan program interaktif akan dilaksanakan sempena Jelajah AKM yang berkonsepkan kenduri rakyat sepanjang tiga hari penganjuran program itu seperti sesi bual bicara dan perkhidmatan bantuan serta nasihat daripada pelbagai agensi berkaitan.
Antaranya kaunter perkhidmatan kementerian dan agensi, gerai usahawan, Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Jualan Murah Keluarga Malaysia.
-- BERNAMA
#MITC #Jelajah AKM #jalan tutup #Polis Melaka