KOTA BHARU: Polis Kelantan memohon kerjasama pengamal media dan juga orang ramai supaya menghentikan berita berbentuk spekulasi mengenai kejadian penculikan wanita di kampung Semat Jal Tumpat serta merta.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menegaskan, semua pihak termasuk pengamal media harus memahami kes yang dialami oleh keluarga mangsa dan juga siasatan pihak polis.

Bahkan laporan berbentuk spekulasi memberikan tekanan kepada pihak mangsa dan juga pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.

"Dalam hal ini, PDRM ingin mengambil maklum bahawa kes membabitkan keluarga berkenaan merupakan satu kes yang memerlukan siasatan dan risikan yang rapi bukan sahaja membabitkan PDRM sebaliknya pihak berkuasa lain.

"Bahkan kes ini juga meninggalkan trauma kepada keluarga mangsa. Pada masa sama sebarang pemberitaan, pelaporan baik di media cetak, media atas talian mahupun sosial media boleh mengganggu siasatan dan risikan pihak polis.

"Ingin saya tegaskan, bahawa PDRM tidak berdiam diri dalam menjalankan siasatan dan pelaporan berita yang tidak tepat, spekulasi dan dakwaan tidak membantu siasatan pihak PDRM sebaliknya menimbulkan implikasi yang tidak baik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mangsa Culik | Suami mangsa dipercayai ada kaitan sindiket dadah


Muhamad Zaki berkata, sebagai rakyat dan keluarga Malaysia yang prihatin, orang ramai sewajarnya turut sama berdoa memohon keselamatan dan juga memudahkan urusan dan tugas pihak berkuasa.

"Laporan berbentuk spekulasi, mengaitkan perkara yang kurang tepat dengan berdasarkan sumber yang diragui boleh menjejaskan siasatan pihak PDRM di samping meletakkan keluarga dan mangsa dalam keadaan terancam," katanya lagi.

Muhamad Zaki berkata, pihak polis dan juga pihak berkuasa di negara jiran sedang berusaha melakukan yang terbaik.

Kes Culik | Polis Thailand edar gambar ejen kosmetik dan suspek



Media sebelum ini melaporkan kejadian seorang wanita berusia 36 tahun dibawa lari empat individu menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna perak pada 13 September lepas di kampung Semat Jal, Palekbang, Tumpat.