MALAYSIA

Polis minta orang ramai henti spekulasi, sebar video insiden JPJ dan warga asing

Bernama 13/09/2025 | 21:45 MYT
Maizura meminta warga asing terbabit tampil ke balai polis berhampiran dan memberi keterangan bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian untuk siasatan. - Gambar hiasan
DUNGUN: Polis meminta orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan video berhubung insiden melibatkan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dengan warga asing yang tular di media sosial sejak Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata penyebaran rakaman video berdurasi 12 saat itu boleh mengganggu siasatan, menjejaskan keharmonian masyarakat dan menimbulkan persepsi terhadap integriti serta tindakan agensi penguat kuasa undang-undang.

Beliau berkata dalam kejadian 12.30 tengah hari Jumaat, anggota JPJ Bukit Besi yang melakukan rondaan di Jalan Pulau Serai menuju Kampung Tok Kah menahan seorang lelaki warga asing kerana menunggang motosikal tanpa lesen.

Bagaimanapun ketika ditahan, warga asing itu bertindak agresif dengan cuba mencederakan anggota bertugas sebelum melarikan diri.

"Keadaan itu memaksa pihak penguat kuasa menggunakan kekerasan minimum dan terkawal bagi mempertahankan diri," katanya dalam kenyataan semalam.

Maizura meminta warga asing terbabit tampil ke balai polis berhampiran dan memberi keterangan bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian untuk siasatan.

-- BERNAMA

#JPJ Terengganu #menunggang motosikal tanpa lesen #warga asing #Maizura Abdul Kadir