Polis Miri sudah kenal pasti pengirim dan penerima kotak 'bom'

Astro Awani
Ogos 9, 2019 10:53 MYT
Tindakan meletupkan kotak itu adalah prosedur operasi standard selepas pihaknya mendapat maklumat mengenai kotak tersebut.
Polis sudah mengenal pasti identiti pengirim dan penerima kotak yang tertera ancaman bom 'Jangan campak, ada bom di dalam'.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah berkata, pihaknya akan merakam percakapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Katanya, apa juga alasan pihak tersebut, menulis sesuatu yang menggugat keamanan dan ketenteraan adalah satu kesalahan.
"Oleh itu, saya nasihatkan orang ramai kalau hantar barang dan elak barang itu rosak atau pecah ada cara yang telah ditetapkan oleh syarikat penerbangan.
"Perkara ini (ancaman bom) sangat sensitif dan tidak boleh tulis benda-benda yang mengancam ketenteraman orang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
BACA: Alat ganti motosikal diletupkan, bungkusan tertera ancaman bom
BACA: "Kesilapan saya, saya tulis ada bom" - Pengirim
Semalam, polis telah meletupkan kotak yang tertera ancaman bom 'Jangan campak ada bom di dalam' di kargo Lapangan Terbang Miri.
Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan, kandungan di dalam kotak tersebut hanya alat gantian motosikal sahaja.
Dalam pada itu, Meng Seah memberitahu, tindakan meletupkan kotak itu adalah prosedur operasi standard selepas pihaknya mendapat maklumat mengenai kotak tersebut.
#Kotak ancaman bom #penerima #pengirim #Polis Miri