23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
MALAYSIA

Polis mohon bantuan orang ramai salur maklumat kemalangan maut di Sungai Lokan

Bernama 05/10/2025 | 01:00 MYT
Pihak polis memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi BSPT IPD SPU melalui talian 04-5757946 atau hadir ke mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.
KEPALA BATAS: Polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan maut membabitkan dua individu di Jalan Permatang Baru, Sungai Lokan di sini, supaya tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Anuar Abdul Rahman berkata dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa dipercayai pemandu dan penumpang rentung selepas kereta dinaiki terbakar.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal mangsa yang identitinya belum dikenal pasti memandu kereta jenis Proton Saga dan dipercayai dari arah Permatang Tiga menghala ke Sungai Dua.

"Apabila tiba di lokasi, kereta berkenaan disyaki hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh timbunan tanah di kiri jalan sebelum kenderaan itu terbakar.

"Kemalangan telah mengakibatkan dua mangsa dipercayai pemandu dan penumpang rentung dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sehubungan dengan itu, beliau memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi BSPT IPD SPU melalui talian 04-5757946 atau hadir ke mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA





#Nahas #salur maklumat #identiti belum dikenal pasti #Proton Saga