JOHOR BAHRU: Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang dari rumahnya di kuarters Hospital Temenggung Seri Maharaja Kulai sejak 5 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tan Seng Lee dalam kenyataan berkata Nurul Aina Najwa Abdul Fattah kali terakhir dilihat bapa dan ibu tirinya yang berusia 30-an di rumah mereka sekitar 12.30 tengah malam, sebelum disedari hilang pada 6 pagi dan laporan polis dibuat pada 7 malam hari sama.


Beliau berkata remaja bertubuh badan berisi, berkulit putih dan memakai cermin mata itu merupakan pelajar di sebuah madrasah di Saleng di sini, manakala bapanya bekerja sebagai pemandu ambulans dan ibu tiri merupakan guru tuisyen.

Bagaimanapun kedua-dua mereka tidak pasti pakaian terakhir dipakai remaja itu.

"Setakat ini pihak polis telah merakam percakapan ibu tiri remaja terbabit untuk membantu siasatan.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, remaja terbabit mempunyai isu enggan untuk pergi ke sekolah disebabkan persekolahan yang baru bermula," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Balai Polis Kulai di talian 07-6632222 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Teo Feng Shun 018-3774339.

-- BERNAMA