MALAYSIA

Polis mohon reman ke atas dua individu terlibat Himpunan GARAH

Seth Akmal 08/02/2026 | 05:00 MYT
Datuk Fadil Marsus berkata kedua individu tersebut ialah Zamri Vinoth dan Tamim Dahri Abdul Razak.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon perintah reman terhadap dua individu yang dipercayai terlibat dalam Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang diadakan di ibu negara malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata kedua individu tersebut ialah Zamri Vinoth dan Tamim Dahri Abdul Razak.

Menurutnya, kedua-dua mereka disiasat Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 [Akta 15], Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 AktaKomunikasi Multimedia 1998.

“Dua individu ini akan ditahan bagi tempoh lanjutan, dan permohonan reman akan dibuat pagi ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi,” katanya semasa sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Pada masa sama, Fadil mengesahkan seramai 19 individu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang diadakan di ibu negara malam semalam.

Penahanan itu melibatkan 15 lelaki dan empat wanita warga tempatan berusia antara 30 hingga 64 tahun, di bawah Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

“Selebihnya telah dibebaskan di bawah jaminan polis pada jam 2 pagi tadi,” katanya.

Pada masa sama, Fadil mengesahkan telah menerima 131 laporan polis, termasuk daripada premis berhampiran lokasi himpunan.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membangkitkan isu berkaitan 3R (agama, raja dan kaum) yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.




#akta hasutan #Himpunan GARAH #PDRM #siasatan