Polis nafi Jho Low dikeluarkan daripada senarai notis merah Interpol

Bernama
Oktober 7, 2022 14:36 MYT
Jho Low dikeluarkan daripada senarai notis merah Polis Antarabangsa (INTERPOL) sebagai helah untuk individu terbabit kembali ke Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan kononnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyatakan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dikeluarkan daripada senarai notis merah Polis Antarabangsa (INTERPOL) sebagai helah untuk individu terbabit kembali ke Malaysia.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata dakwaan yang dimuat naik di akaun Twitter @the borneoghost itu merupakan berita palsu yang tidak bertanggungjawab dengan tujuan untuk mewujudkan kegusaran masyarakat.
"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian)," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau turut menasihatkan masyarakat agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menyalahgunakan platform itu untuk menyebarkan berita tidak benar sehingga boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.
-- BERNAMA
#Polis Diraja Malaysia #Acryl Sani Abdullah Sani #Polis Antarabangsa INTERPOL #Noorsiah Mohd Saaduddin