PETALING JAYA: Tiada bekas luka lama akibat penderaan dikesan pada badan kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin, menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Justeru, beliau menafikan Zayn Rayyan merupakan mangsa dera seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Tiada kesan penderaan ditemukan pada badan mangsa, ibu bapa kanak-kanak ini telah menjaganya (Zayn Rayyan) dengan elok, spekulasi dia didera ini tidak betul. Orang ramai dinasihatkan tidak keluar kenyataan tidak berasas yang boleh mengganggu siasatan polis dan sensitiviti keluarga," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Apartment Idaman di sini hari ini.

Setelah dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa lepas di Damansara Damai, kanak-kanak berumur enam tahun itu ditemukan maut dalam aliran anak sungai berhampiran kediamannya pada keesokannya, kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai.

Selepas proses bedah siasat dilakukan di Hospital Sungai Buloh semalam, kematian Zayn Rayyan diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Dalam pada itu, Hussein berkata 50 anggota polis terlibat dalam pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan.

Beliau berkata walaupun pihaknya kini mempunyai keterangan yang amat terhad bagi siasatan kes berkenaan, beliau memberi jaminan polis akan melakukan yang terbaik sehingga tertangkapnya pelaku kes terbabit.

"Setakat ini, kita telah merakam beberapa keterangan dan telah menghantar beberapa barangan kes kepada Jabatan Kimia dan keputusan cap jari serta keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan diperoleh dalam dua, tiga hari lagi," katanya.

Dalam pada itu, Hussein berkata pihaknya akan meluaskan radius kawasan siasatan di sepanjang anak sungai lokasi kanak-kanak malang berkenaan ditemukan.

Beliau berkata pihaknya turut menerbangkan dron di lokasi berkenaan pada petang tadi bagi tujuan pemetaan kawasan serta mencari sekiranya terdapat laluan tikus yang boleh digunakan untuk keluar masuk ke kawasan berkenaan.

"Polis juga mengumpul maklumat kes ini dari rumah ke rumah, terdapat 18 blok di apartmen ini yang menempatkan 2,484 buah rumah dan setakat ini kita telah selesai menemu bual penduduk di tiga blok dan akan diteruskan sehingga selesai semua," katanya.

Ditanya sama ada polis akan menggunakan pangkalan data pesalah seksual kanak-kanak yang dibangunkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam siasatan berkenaan, Hussein berkata pihaknya sedang membuat data itu bersama pangkalan data milik polis untuk mengenal pasti suspek.

-- BERNAMA