SEREMBAN: Polis menerima 97 laporan membabitkan aktiviti penggodaman akaun Telegram dan disalahgunakan oleh sindiket penipuan di Negeri Sembilan dalam tempoh enam bulan sejak September tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan Supt Aibee Ab Ghani berkata, akaun Telegram yang digodam itu digunakan suspek untuk menghubungi kenalan dan ahli keluarga mangsa bagi tujuan meminjam wang.

Beliau berkata suspek kemudiannya akan memberikan nombor akaun mereka untuk menerima wang pinjaman tersebut daripada mangsa.

"Modus operandinya ialah mangsa terima mesej daripada kenalan menerusi Facebook meminta menekan pautan akaun Telegram diberikan dan mangsa kemudian diminta untuk 'log masuk' ke pautan berkenaan.

"Seterusnya, mangsa menerima WhatsApp kononnya daripada kenalan yang menggunakan nombor telefon lain lalu menyuruhnya untuk masukkan suspek dalam kumpulan Telegram. Mangsa kemudian menerima lima nombor digit kod dari Telegram dan diminta menghantar semula digit kod itu kepada kenalannya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aibee berkata sebanyak 32 kertas siasatan dibuka dengan kerugian berjumlah RM114,150 sejak awal 2021 hingga Feb tahun ini membabitkan kes berkenaan.

Menurutnya, setakat ini polis telah mengenal pasti 55 akaun pelbagai bank tempatan telah digunakan oleh sindiket untuk tujuan itu.

"Berdasarkan siasatan ia dipercayai melibatkan sindiket yang beroperasi di luar negara berdasarkan pindahan wang telah dibuat ke akaun di luar negara setelah wang dimasukkan ke dalam akaun bank tempatan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) (a) Akta Jenayah Komputer.

Justeru, beliau menasihati orang ramai untuk berhati-hati apabila menerima pautan daripada mana-mana individu serta tidak sesekali memberikan sebarang nombor kod yang diterima dalam pesanan telefon bimbit kerana boleh menyebabkan akaun mereka digodam oleh penjenayah.

-- BERNAMA