BUTTERWORTH: Satu sindiket pemerdagangan manusia membabitkan warga Myanmar didalangi warga tempatan dan wanita Myanmar tumpas selepas Polis Pulau Pinang menahan 30 individu dalam OP Pintas Sabtu lepas.

Serbuan di beberapa lokasi di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta  Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, seramai 21 lelaki dan lima perempuan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar berusia antara 20 hingga 35 tahun ditahan di premis kediaman yang dijadikan transit kepada warga asing yang baru tiba di negara ini.

Turut ditahan dua lelaki tempatan, seorang perempuan tempatan dan seorang perempuan warganegara Myanmar berusia 43 hingga 66 tahun dipercayai dalang bagi aktiviti tersebut.

“Keempat-empat mereka dipercayai bertanggungjawab membawa masuk kesemua pendatang tanpa izin (PATI) dengan menggunakan jalan darat menerusi sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Siasatan awal kita mendapati setiap PATI telah membayar antara RM 4,000 hingga RM 5,000 kepada dalang terbabit untuk dibawa masuk ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Laman Facebook PDRM Pulau Pinang pada Isnin.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas empat buah kereta, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.

Kesemua individu yang ditahan serta PATI telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut.

Rahimi berkata, semua dalang yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Kesalahan Penyeludupan Migran).

Manakala PATI yang ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (kesalahan tidak memiliki permit yang sah).