KUANTAN: Selang beberapa hari kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak tersebar, Polis Pahang menerima tiga laporan kes buli melibatkan pelajar-pelajar di tiga sekolah di Muadzam Shah, Maran dan Lipis.

Menurut Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, polis menerima laporan pada 6 Disember dan 10 Disember melibatkan mangsa pelajar tingkatan satu dan dua dari tiga buah sekolah dan kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Tambah Mohd Yusri, kesemua pelajar yang terlibat juga telah dikenal pasti dengan bantuan pihak sekolah terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau memaklumkan berdasarkan soal siasat, polis mendapati mangsa-mangsa ini menyembunyikan kejadian buli tersebut dan hanya membuat laporan polis setelah balik bercuti dan apabila disedari oleh pihak keluarga.

Dalam laporan polis pertama pada 6 Disember lalu, empat pelajar berusia 14 tahun di sebuah sekolah di Muadzam Shah dijadikan 'karung tinju' oleh sekumpulan pelajar tingkatan empat dan lima.

Mangsa didakwa dikurung di dalam bilik sebelum dipukul, ditumbuk, disepak dan dirotan oleh pelajar senior kerana dikatakan menyalah guna telefon bimbit.

Manakala laporan kedua yang diterima pada 10 Disember pula melibatkan seorang pelajar tingkatan satu, sebuah sekolah di Maran, mengalami lebam pada bahagian perut kerana dipukul oleh beberapa pelajar senior kerana didakwa memotong barisan di dewan makan asrama.

Laporan ketiga yang diterima pada 10 Disember pula melibatkan seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di Kuala Lipis, yang mengalami kesan lebam dan bengkak di bahagian muka selepas dipukul dengan tangan oleh beberapa orang pelajar senior kerana dituduh menghisap vape di asrama.

Dalam pada itu Mohd Yusri berkata, siasatan masih dijalankan dan pihak keluarga pelajar yang terlibat diminta memberikan kerjasama kepada pihak sekolah serta pihak polis.

Polis Pahang turut mengarahkan semua Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) PDRM di Pahang memberikan perhatian berkenaan isu ini.