Polis pantau keselamatan elak jenayah musim banjir

Astro Awani
Disember 23, 2014 09:47 MYT
FATIMAH: Pihak polis juga akan menempatkan sekurang-kurangnya dua anggota di setiap pusat pemindahan banjir bagi memantau keselamatan mangsa.
Polis akan melakukan rondaan dan pemantauan secara berkala di kawasan banjir bagi memastikan tiada pihak atau individu yang tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan memecah masuk kediaman mangsa seterusnya melarikan barangan berharga.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Fatimah Ghazali berkata, pihaknya sudah meletakkan anggota dalam keadaan bersiap sedia di lokasi dinaiki air supaya mangsa banjir boleh berpindah segera tanpa berasa bimbang terhadap barangan berharga di kediaman masing-masing.
Beliau berkata, sebelum ini ada segelintir mangsa banjir tidak mahu berpindah kerana bimbang rumah mereka akan dipecah masuk individu atau pihak tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan kerugian ribuan ringgit.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating.
Fatimah berkata, pihaknya juga akan menempatkan sekurang-kurangnya dua anggota di setiap pusat pemindahan banjir bagi memantau keselamatan mangsa sekali gus mengelak berlakunya kejadian jenayah.
Sementara itu, beliau berkata, orang ramai terutama ibu bapa diminta mengawasi anak masing-masing supaya tidak bermain di kawasan parit atau longkang bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.
Katanya, pada waktu musibah ini yang paling penting adalah keselamatan perlu dititik beratkan dengan mengikuti segala arahan daripada pihak berkuasa seterusnya memudahkan urusan pemindahan ke kawasan yang selamat.
#banjir #Fatimah Ghazali #polis #Timbalan Ketua Polis Pahang