KUALA LUMPUR: Polis sedang memantau tujuh kumpulan ajaran sesat yang masih aktif, dipercayai boleh mendatangkan ancaman keselamatan dan menggugat ketenteraman awam negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, berdasarkan siasatan, kumpulan tersebut dikenal pasti sebagai Terekat Habib Shah, Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN), Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Millah Abraham @ Ibrahim (MA), Ajaran Suhaini @ Sihulk, Nur Mutiara Mutmainnah (NMM) dan The Ahmadi Religion of Peace and Light.

Beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang cuba mengugat keharmonian negara.

"Polis memandang serius penyebaran ajaran sesat yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan dan mengugat ketenteraman awam.

"Pemantauan rapi dijalankan dalam perkara ini bagi memastikan tiada penganut atau pengamal ajaran sesat yang melangkaui garisan keselamatan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, sejak 2021 hingga tahun ini, pihaknya merekodkan 51 laporan berhubung aktiviti kumpulan ajaran sesat atau menyeleweng.

Daripada laporan itu, beliau memberitahu, polis menahan 23 individu termasuk pemimpin dan pengikut kumpulan berkenaan.

Menurutnya, 20 daripada tangkapan itu melibatkan kumpulan Tarekat Habib Shah dan masing-masing satu bagi kumpulan Ajaran Ilmu Akhir Zaman, Nur Mutiara Mutmainnah dan Suhaini @ Sihulk.

Sehubungan itu katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan serta Jabatan Agama Islam negeri bagi membendung kegiatan ajaran sesat dan fahaman terpesong daripada disebarkan dalam kalangan masyarakat.

"Sekiranya terdapat penganut penganut atau pengamal ajaran sesat yang dikesan membuat sebarang tindakan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan kegusaran awam, suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan yang boleh memudaratkan tahap kselamatan, PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi," 

Razarudin berkata, siasatan ke atas kumpulan itu akan diambil mengikut peruntukan Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.