Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Polis patahkan aktiviti penyeludupan migran, tahan 43 warga Myanmar

Bernama 19/11/2025 | 12:46 MYT
Datuk Adzli Abu Shah berkata, pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kubang Pasu dan Balai Polis Bukit Kayu Hitam telah membuat siri serbuan. - Facebook Polis Kedah
ALOR SETAR: Polis berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan migran dengan penahanan 43 warga Myanmar dalam empat tangkapan berasingan di tiga daerah menerusi Op Pintas, baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata pada 5 Nov lepas, pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan Balai Polis Bukit Kayu Hitam membuat serbuan di tepi jalan di Kampung Baru, dekat Changlun pada 8.30 pagi.

"Polis menahan sebuah kereta jenis Proton Exora yang dipandu seorang lelaki tempatan dan pemeriksaan di dalam kereta telah menemui 10 lelaki dan lima wanita warga Myanmar.

"Polis kemudiannya telah menjalankan pemeriksaan lanjut di rumah suspek dan menemui 10 lagi lelaki dan seorang wanita Myanmar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Beliau berkata hasil soal siasat lanjut telah membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan yang merupakan rakan sejenayah dan berperanan sebagai 'transporter' atau pengangkut migran.

Dalam serbuan kedua pada 13 Nov, katanya pasukan daripada IPD Padang Terap cuba menahan sebuah kereta jenis Perodua Alza pada 9 malam, bagaimanapun pemandu lelaki warga tempatan enggan berhenti dan polis mengejar kenderaan itu sebelum ia terbabas ke dalam semak di tepi jalan.

"Pemandu kereta berjaya melarikan diri dan hasil pemeriksaan di dalam kereta, empat lelaki dan seorang wanita Myanmar ditahan.

"Susulan itu, beberapa serbuan telah dilakukan di sekitar daerah Padang Terap dan berjaya menahan lima lelaki dan dua wanita tempatan yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan itu," katanya.

Adzli berkata dalam serbuan ketiga pada 14 Nov pula, pasukan daripada IPD Kubang Pasu menahan sebuah kereta jenis Nissan Sentra dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan di Bukit Kayu Hitam dan enam lelaki Myanmar termasuk pemandu kereta berkenaan diberkas.

Susulan tangkapan itu katanya pasukan daripada IPK Kedah telah membuat serbuan di sebuah rumah di Pokok Sena pada 15 Nov dan berjaya menahan lima lelaki dan seorang wanita Myanmar serta seorang lelaki tempatan.

"Menerusi operasi ini, jumlah tangkapan keseluruhan warga Myanmar adalah seramai 43 orang iaitu 35 lelaki dan lapan wanita yang berumur antara 19 hingga 40 tahun. Kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Beliau berkata lapan lelaki serta dua wanita tempatan turut disiasat mengikut Seksyen 26A Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

Adzli berkata dari 2021 hingga kini, jumlah tangkapan di bawah ATIPSOM adalah sebanyak 1,083 orang termasuk warga Myanmar yang mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 111 kertas siasatan.

Menurutnya modus operandi penyeludupan dikenal pasti antaranya menggunakan lorong tikus melalui sempadan Padang Besar, sempadan Bukit Kayu Hitam dan sempadan perairan antarabangsa ke Pulau Langkawi.

"Penyeludupan migran ini membawa kesan negatif kepada negara kerana ia boleh mengancam keselamatan negara, meningkatkan beban ekonomi negara, menimbulkan tekanan sosial dan berlakunya aktiviti jenayah," katanya.

Katanya polis berharap masyarakat bersama-sama membantu menyalurkan sebarang maklumat menerusi talian MERS 999 atau di balai polis berhampiran serta tidak terlibat dalam aktiviti jenayah itu.

-- BERNAMA

#polis #seludup migran #warga myanmar #Op Pintas #Adzli Abu Shah